KUCHING, 22 Jun (Bernama) -- Program pembangunan usahawan industri asas tani akan memberi tumpuan untuk mewujudkan 10,000 usahawan yang pendapatan lebih RM2,000 sebulan, di peringkat nasional.
Timbalan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Malaysia (Fama) Sarawak, Isa Hamzah berkata menerusi program tersebut golongan berkenaan, khususnya di Sarawak, diberi peluang untuk meluaskan pasaran selain menambah jalinan pasaran antara pengusaha dan pemasar produk industri asas tani.
"Sebagai contoh, Ekspo Industri Asas Tani Negeri Sarawak 2009, yang akan diadakan di Tebingan Kuching dari 25 hingga 28 Jun ini, merupakan platform pemasaran bagi membuka peluang yang lebih luas kepada pengusaha industri kecil dan sederhana yang terlibat secara langsung dalam sektor pertanian dan industri asas tani untuk memperkenal dan mempromosi produk mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata sebanyak 100 gerai pameran dan jualan disediakan untuk usahawan dan agensi sepanjang program ini yang berlangsung serentak dengan pengisytiharan bulan Industri Asas Tani peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Kementerian itu, melalui Fama, turut menyediakan 22 gerai makanan popular negeri Sarawak seperti pais lamantak (sagu), bubur pedas, tahai, umai serta juadah lain, katanya.
Isa berkata ekspo itu melibatkan 52 usahawan dari Sarawak, 28 dari Semenanjung dan lima dari Sabah manakala 15 agensi akan menyertai pameran dan menyediakan kaunter khimat pelanggan bagi memastikan program itu memberi kesan terhadap golongan sasar.
"Melalui kaunter khidmat pelanggan setiap agensi (kementerian pertanian) terlibat mampu memberi bimbingan serta khidmat sokongan supaya sebarang masalah yang berbangkit dapat ditangani," katanya.
Program itu juga bertujuan mewujudkan pusat pemasaran setempat, khususnya untuk aktiviti promosi dan jualan produk keluaran usahawan industri asas tani Sarawak.
Isa yakin ekspo itu secara amnya dapat meningkatkan kesedaran pengguna terhadap Kempen Belilah Barangan Malaysia anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
-- BERNAMA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan